Halaman

Isnin, 10 Disember 2012

KATA NAMA

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), golongan kata nama Bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan,iaitu (i) Kata Nama Am, (ii) Kata Nama Khas, dan (iii) Kata Ganti Nama.


KATA NAMA
a. Kata Nama Am
b. Kata Nama Khas
c.  Kata Ganti Nama


A. Kata Nama Am
Menurut Tatabahasa Dewan (2009), Kata Nama Am ialah perkataan yang merujuk benda,perkara, konsep umum sifatnya.

a.  Benda - alam, dunia, cakerawala, pokok, orang
b.  Perkara - iklim, cahaya, roh, udara, hisapan.
c.  Konsep-kedamaian, perpindahan, keadilan.

Latihan
Berdasarkan petikan di bawah, sila kenal pasti kata nama am hidup manusia.

CARTAGENA (Sepanyol): Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menubuhkan sebuah pusat latihan kapal selam di pangkalannya di Teluk Sepanggar, Sabah yang akan menempatkan dua kapal selam jenis Scorpene.
"Kita akan menjalankan latihan di negara sendiri,dan kita memperoleh alat simulator bagi melatih warga kapal selam," kata Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar kepada pemberita Malaysia pada raptai pelancaran kapal selam kedua jenis Scorpene di limbungan Navantia di sini, kelmarin.
Seramai 142 pegawai dan anggota TLDM menjalani latihan di perancis untuk mengendalikan kedua-dua kapal selam TLDM itu.

B.  Kata Nama Khas
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009),kata nama khas ialah bentuk kata yang merujuk khusus orang, empat, atau benda. 
Contohnya:  Kuala Lumpur, Ahmad,  Masjid Negara.

Jenis-jenis Kata Nama Khas
Menurut Tatabahasa Dewan (2009), kata nama khas membawa makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula boleh dibahagikan lagi kepada kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Pembahagian kata nama khas demikian boleh ditunjukkan melalui rajah yang berikut:

Jenis Kata Nama Khas
1) Hidup
-  Manusia
-  Bukan Manusia

2) Tak Hidup

a) Kata Nama Khas Hidup

i) Kata Nama Khas Hidup Manusia- Jamil, Puteri Salbiah, Sharifah Aini
ii) Kata Nama Khas Hidup Bukan Manusia- Sang Kancil, Si Tompok, Pak Belang

b) Kata Nama Khas Tak Hidup

i) Benda- Proton, Piala Malaysia
ii) Institusi- Universiti Malaya, Wisma Putra
iii) Tempat- Ipoh, Tokyo
iv) Bahasa/Bangsa- Inggeris, Melayu
v)Konsep- Dasar Ekonomi Baru, Akta Hasutan 

Latihan
Sila gariskan kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup yang terdapat dalam petikan di bawah.

PUERTO SAN CARLOS,Mexico 12 Okt - Taufan Norbert melanda kawasan darat di tanah besar Mexico awal pagi ini dengan menyebabkan 2,000 penduduk melarikan diri tetapi kekuatannya dilaporkan semakin menurun.

Taufan kategori 1 itu membadai kawasan darat kira-kira 35 kilometer ke tenggara Huatabampo sekitar 0400 GMT (12 tengah hari ini) dengan kekuatan angin hampir 140 kilometer sejam, menurut Pusat Taufan Negara Amerika Syarikat (AS) di Miami.

Lebih 2,000 penduduk berteduh di pusat perlindungan sementara,ramai antaranya dari kampung tepi pantai apabila bumbung berterbangan dari hampir semua rumah.

                                                                                              (Sumber: Utusan Malaysia 13 Oktober 2008)

C.  Kata Ganti Nama
Menurut Abdullah Hassan (1992), kata ganti nama ialah kata yang menggantikan nama dan berfungsi seperti nama. Tahukan anda bahawa kata nama am atau kata nama khas bahasa Melayu boleh diganti penggunaannya dengan sejenis kata lain iaitu dinamakan sebagai kata ganti nama. Misalnya, kata nama gadis, boleh diganti dengan kata dia, ia atau beliau.

Jenis-Jenis Kata Ganti Nama
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2009), kata ganti nama boleh dibahagikan lagi kepada dua golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata Ganti Nama Diri pula dibahagikan lagi kepada kata ganti nama diri orang dan kata ganti nama diri tanya.Kata Ganti Nama Diri Orang pula terdiri daripada kata ganti nama diri orang pertama,kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga.Berikut ialah penggolongan kata ganti nama:

Kata Ganti Nama
i.  Kata Ganti Nama Tunjuk
    Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama dan mendukung maksud  
    menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk itu.

    Ada dua kata ganti nama tunjuk, iaitu ini,untuk menunjuk pada yang dekat dan itu untuk menunjuk pada 
    yang jauh.

ii. Kata Ganti Nama Diri
    Kata ganti nama diri terbahagi pula kepada dua golongan iaitu:
    a.  Kata Ganti Nama Diri Tanya
         Kata ganti nama jenis ini ialah perkataan yang merujuk benda atau orang dalam bentuk tanya.Ada tiga 
         kata ganti nama diri tanya iaitu:
         i.    Apa - merujuk benda atau perkara
         ii.   Siapa - merujuk kepada orang
         iii.  Mana - merujuk benda atau orang

Kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau penegasan.Misalnya:
         APA - apa-apa
         MANA - mana-mana
         SIAPA - siapa-siapa

    b.  Kata Ganti Nama Diri Orang
         Kata ganti nama jenis ini mengandungi perkataan yang merujuk diri orang tertentu, iaitu diri orang 
         pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga iaitu:
         i.     ORANG PERTAMA - saya, aku, beta, patik, kami, dan kita
         ii.    ORANG KEDUA - anda, engkau, awak, dan kamu
         iii.   ORANG KETIGA - ia, dia, mereka, dan -nya

Kata ganti nama orang ketiga -nya  boleh berfungsi sebagai penekan dan pembenda.









KATA TUGAS

Kata tugas ialah satu kelompok perkataan yang kehadirannya dalam ayat penting kerana tugas-tugas sintaksis.Kata tugas hadir dalam ayat,sama ada di bahagian hadapan ayat,di bahagian hadapan frasa,atau di belakang perkataan-perkataan tertentu untuk memberikan makna khusus atau memainkan peranan sintaksis tertentu dalam ayat berkenaan.

Jenis-jenis kata tugas

a.  Kata Hubung
Kata hubung ialah kata penyambung ayat,iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis.

Contoh:

           i.  Ali,Ahmad dan Halim pergi ke sekolah.
           ii.  Aslinda menari sambil menyanyi.
           iii.  Dia pandai tetapi adiknya bodoh.
           iv. Tidak boleh ada ahli yang memegang dua atau lebih.
            v. Kalimat itu menunjukkan bahawa dia sememangnya mehu memberitahu.
     
b) Kata Seru
Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut, dan sebagainya. Cara penggunaannya disesuaikan dengan intonasi pengucapan iaitu dengan nada meninggi atau menurun.

Contoh:
          i) Aduh, sakitnya tanganku!
          ii) Aduhai, apalah malang nasibku ini!
          iii) Ah, aku tidak bersetuju!
          iv) Amboi, sombongnya dia!
          v) Eh, bilakah kau pulang ke tanah air!

c) Kata Tanya
Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu, contohnya mengapa, berapa, bila dan bagaimana.



Contoh:  


             Berapa       - Harga barang itu berapa?
                               - Berapa tahunkah dia belajar di luar negeri?
             Bila            - Mereka sampai bila?
                               - Bilakah gerangan kekanda akan pulang?
             Bagaimana - Kesihatannya sekarang bagaimana?
                               - Bagaimanakah keputusan peperiksaannya?

d) Kata Perintah
Kata perintah ialah perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan.

Contoh:
             i)Jangan buang sampah di sini.
            ii)Usah biarkan dia berseorangan.
           iii)Silalah datang ke rumah saya jika ada kelapangan.
           iv)Jemput masuk!
           v)Minta tuan-tuan bersabar sebentar.

e) Kata Pangkal Ayat
Kata pangkal ayat ialah perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat dalam wacana. Namun, kata pangkal ayat ini tidak begitu banyak diamalkan sekarang. Perkataan ini umumnya digunakan dalam bahasa Melayu klasik, misalnya hatta, maka, arakian, syahadan, dan sebagainya.

Contoh:
           i)Hatta istana itu pun siaplah.
           ii)Maka panglima itu pun diberi persalinan.
          iii) Syahadan baginda pun berangkat meninggalkan Melaka.
          iv)Adapun kuda itu dipunyai oleh Tun Umar.
           v)Alkisah tidak beberapa lama kemudian hamillah permaisuri.

f) Kata Bantu
Kata bantu ialah sejenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama iaitu dengan menimbulkan makan-makna tambahan dari aspek waktu atau ragam.

Contoh:
             i)Pekerja itu telah pulang.
            ii)Kami pernah ke utara Malaysia.
           iii)Kanak-kanak itu sudah makan.
           iv)Kanak-kanak itu hendak masuk ke bilik.
           v)Ramai pemuda kini mahu bekerja sendiri.

g) Kata Penguat
Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata adjektif.

Contoh:
           i)Pokok itu terlalu tinggi.
          ii)Masakan itu paling sedap.
         iii)Kelakuan anak itu baik sekali.
         iv)Bas itu tiba lambat benar.
         v)Pakaian seragam pasukan itu amat kemas.

h) Kata Penegas
Kata penegas yang disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang meberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Contoh:
            i)Di manakah ibu kamu itu?
           ii)Bilakah kamu datang?
          iii)Apatah daya kita?
          iv)Dialah orang nya.
          v)Inilah isteri kesayanganku.

i) Kata Nafi
Kata nafi ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama.

Contoh:
            i)Dia bukan murid di sekolah ini.
           ii)Idah tidak pandai memasak kari ayam.
          iii)Jangan membuang sampah-sarap di merata-rata tempat.
          iv)Lelaki yang berbaju merah itu bukan ayah saya.
          v)Budak itu bukan pandai sangat tetapi dia rajin belajar.

j) Kata Pemeri.
Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat dua jenis kata pemeri iaitu ialah dan adalah.

Contoh:
            i)Dia ialah seorang guru.
           ii)Berita itu adalah palsu.
          iii)Mereka ialah pelari pecut.
          iv) Pendapat itu adalah karut.
          v)Nama saya ialah Abu.

k) Kata Sendi Nama
Kata Sendi adalah kata yang digunakan untuk menyambung frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat. Kata sendi memerlukan frasa nama yang membentuk predikat ayat.

Contoh:
            i)Dia berasal dari pedalaman.
            ii)Ibu pergi ke pasar.
           iii)Saya menetap di Ipoh.
           iv)Kertas ini diperbuat daripada kayu.
           v)Dia balik pada pukul 5.00 petang.

l) Kata Pembenar
Kata pembenar ialah kata yang mengesahkan sesuatu pertanyaan. Contoh kata pembenar ialah ya, benar, dan betul.



Contoh:


            i)Ya, esok awak boleh bercuti.
           ii)Ya, kamilah yang membuka pintu rahsia itu.
          iii)Benar, tekaan kamu itu memang tepat.
          iv)Benar, dia sudah berhenti kerja.
          v)Betul, kalau kamu tidak percaya, tanyalah Dani.

m) Kata Arah
Kata arah ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau arah sesuatu.

Contoh:
            i)Bunga hiasan itu itu sesuai ditempatkan di penjuru rumah.
            ii)Pertunjukkan tarian itu jelas dari sudut kiri stadium.
           iii)Kanak-kanak itu ditinggalkan di tepi jalan.
           iv)Pelumba basikal itu bertolak dari utar ke selatan.
           v)Semua hidangan itu diletakkan di atas meja.

n) Kata Bilangan
Kata bilangan ialah perkataan yang menerangkan bilangan atau jumlah orang, benda, atau perkara.

Contoh:
            i)Saya menanam dua batang pokok kelapa di kebun.
           ii)Para penulis dikehendaki beratur di dewan.
          iii)Di pasar malam terdapat berbagai-bagai jenis sayuran dijual.
          iv)Dia menunggu bas selama lima jam suku.
          v)Harga ikan sardin ialah tujuh ringgit sekilo.

o) Kata Adverba
Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat.

Contoh:
            i)Bas itu bergerak laju.
           ii)Saya hampir terjatuh ketika melompat.
          iii)Datang ke sini cepat.
          iv)Ibu betul-betul gembira dengan kepulangan kakak.
          v)Mereka sesat berhari-hari di tengah lautan.

p) Kata Penekan
Kata penekan merupakan salah satu daripada kata pascakata iaitu kata yang hadir dan melekat selepas perkataan.Bentuk kata tersebut ialah -nya, yang dapat berfungsi sebagai penekan atau pembenda.

Contoh:
            i)Sesungguhnya, pengorbanan perlu jika ingin berjaya.
           ii)Bahawasanya setiap rakyat perlu mempertahankan negaranya.
          iii)Cuaca nampaknya semakin gelap.

q) Kata Pembenda
Kata pembenda ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Misalnya perlahannya, sedapnya, sejuknya.

Contoh:
            i)Lajunya ialah 350 km sejam.
           ii)Bukan kepalang sakitnya.
          iii)Datangnya secara mendadak.
          iv)Air sungai mengalir dengan derasnya.



Rumusan


-Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara, atau konsep yang umum sifatnya.
-Kata nama khas ialah bentuk kata yang merujuk khusus orang, empat, atau benda.
-Kata ganti nama ialah kata yang menggantikan nama dan berfungsi seperti nama.
-Kata kerja ialah kata yang digunakan untuk menyatakan sesuatu perbuatan.
-Kata adjektif, yang juga dikenal sebagai kata sifat, ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif.
-Kata tugas ialah satu kelompok perkataan kehadirannya dalam ayat penting kerana tugas-tugas sintaksis.
-Kata hubung ialah kata penyambung ayat, iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis.
-Kata seru ialah kata yang diggunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum. terkejut, dan sebagainya.
-Kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu.
-Kata perintah ialah perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan.
-Kata pangkal ayat ialah perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat dalam wacana.
-Kata bantu ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif, dan berasa sendi nama iaitu dengan menimbulkan makna-makna tambahan dari aspek waktu atau ragam.


KATA KERJA

Kata kerja ialah kata yang digunakan untuk menyatakan sesuatu perbuatan.Dalam sesebuah ayat,kata kerja berfungsi sebagai predikat. Kata kerja merupakan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja tak transitif ( Perbuatan tidak Melampau ). Menurut (Nik Safiah Karim et al. 2009), kata kerja sebagai satu golongan kata boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu, kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.

Kata Kerja Transitif

Kata Kerja Transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain. Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut (objek). Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan 'me-' sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan seperti mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.

Contoh ayat: Ali menyepak bola.

                     Mereka memancing ikan.

Berdasarkan contoh di atas, jelas perbuatan menyepak, memancing tersebut terkena kepada orang atau benda lain.


Contoh: Kucing itu menangkap seekor burung.\

             Perempuan itu menjual sayur.
             Bapa itu sedang menulis surat.

Menurut Tatabahasa Dewan, kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Contoh:


    Subjek                      Kata Kerja Transitif                Objek

1. Kakak                      memasak                                kari ayam.
2. Farid                        menendang                              bola.
3. Sabri                         menulis                                   surat.

Jenis-jenis Kata Kerja Transitif 

Kata kerja transitif boleh dibahagikan kepada dua jenis:
a) Kata kerja transitif aktif- berfungsi dalam ayat aktif
    Anisah mencuci pakaian di tepi sungai.
b) Kata kerja transitif pasif- berfungsi dalam ayat pasif
    Pakaian dicuci oleh Anisah di tepi sungai.

Kata Kerja Tak Transitif

Kata Kerja Tak Transitif ialah kata kerja yang tidak mengambil apa-apa objek. Menurut Tatabahasa Dewan, kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya.

Jenis-jenis Kata Kerja Tak Transitif


a) Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap

Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat (Nik Safiah Karim et al. 2009) . Contoh:

   Subjek            Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap           Pelengkap

1.Adik                bermain                                                          di padang.
2.Alias                 tinggal                                                           di Kedah.

b) Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap

KAta Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap ialah kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa objek atau penyambut. Contoh:
   Subjek               Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap             Keterangan
1.Mereka              makan                                                                           di sawah.
2.Mereka              membeli-belah                                                               di Ipoh.

Latihan

Tandakan ( / ) bagi setiap ayat transitif dan tandakan ( x ) bagi ayat tak transitif di bawah ini.

1. Siti menangis.                                           (  )

2. Safuan memancing ikan.                           (  )
3. Ibu masih bersolek.                                  (  )
4. Hujan belum turun.                                   (  )
5. Kamal melukis gambar bunga.                   (  )
6.Ah Lim menjual kereta Proton.                   (  )
7. Asiah menyimpan wang.                            (  )
8. Farah belum tidur lagi.                               (  )
9. Kambing makan daun.                               (  )
10. Matahari akan terbit dari timur.                (  )